Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dikasihi sekalian. Semoga anda semua diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menghadapi dugaan kehidupan terutamanya dikala wabak Covid-19 ini.
Kadangkala berdiam diri itulah jawapan yang terbaik. Antara salah satu cara yang paling berkesan untuk menjawab persoalan tanpa memerlukan kita berkata-kata. Ada diantara pembaca telah pun menggunakan senjata yang paling ampuh ini. Percaya atau tidak, berdiam diri boleh membuatkan orang lain faham perasaan atau emosi tanpa kita mengeluarkan sepatah pun perkataan.
Tetapi ingat, bukan semua perkara yang sesuai untuk berdiam diri terutamanya ketika anda sedang diancam. Gunakan pada masa dan situasi yang sesuai.
Manusia suka memberontak jika pandangan mereka tidak selari dengan orang lain. Kadangkala ada juga suka menegakkan benang yang basah dan tidak ingin mendengar pendapat orang lain. Biarkan mereka berbicara kerana jika kita mencelah mereka akan lebih bersemangat untuk berkata-kata. Bila kita mendiamkan diri, bukan sahaja melindungi diri daripada berbicara kata-kata yang tidak enak, bahkan akan membuatkan mereka tertanya-tanya adakah kita tidak berminat untuk meneruskan perdebatan. Akhirnya mereka akan ‘slow down’ dan merendahkan intonasi mereka dan mungkin juga terus beredar tersipu-sipu malu.
Kadangkala berdiam diri itu menunjukkan kematangan kita. Kita tidak mahu terjebak dalam perdebatan yang tidak ada asas dan fakta. Boleh jadi juga mereka menjadikan perdebatan sebagai medan mempersendakan kekurangan diri. Kenapa perlu membuang masa melayan sedangkan kita mempunyai agenda yang lebih hebat. Jom hayati kata-kata dari Imam Syafie ini ; “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu” – Imam Syafie.
Baca artikel sebelum ini disini