Masjid Hassan ke-dua adalah atau lebih dikenali sebagai Casablanca Hajj oleh penduduk tempatan adalah masjid yang terletak di Casablanca, negara Maghribi. Masjid ini adalah masjid yang paling besar di Benua Afrika dan kelima terbesar di dunia. Menara masjid ini adalah menara masjid yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 210 meter. Menara yang setinggi bangunan 60 tingkat ini dilengkapi dengan cahaya laser di atasnya yang mengarah kepada Mekah. Masjid ini direka oleh seorang arkitek berbangsa Perancis bernama Michel Pinseau. Masjid ini boleh memuatkan sehingga 105 ribu jemaah pada satu-satu masa; 25 ribu di dewan berbumbung dan 80 ribu di ruang terbuka. Apa yang uniknya, masjid ini dibina menghadap lautan Atlantik membolehkan jemaah melihat keindahan lautan yang terbentang luas sambil beribadah. Selain itu, dinding masjid ini dibuat dari batu marmar yang diukir menggunakan tangan dan mempunyai bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.
Dibina di tanah seluas 22 ekar di daerah Bd Sidi Mohammed Ben Abdallah, masjid ini siap sepenuhnya pada tahun 1993 setelah lebih kurang 7 tahun pembinaan. Bangunan masjid ini dibina separuh diatas tanah dan separuh lagi di atas laut. Bagi melindungi masjid ini dari ombak lautan Atlantik mengganas, dua pemecah ombak yang besar telah dipasang disekeliling masjid tersebut.
Selain ruang solat, terdapat juga madrasah, hammam (tempat mandi awam), muzium, bilik mesyuarat dan sebuah perpustakaan Islam yang dikatakan paling lengkap di dunia. Terdapat 41 buah air pancut dihalaman masjid dan taman-taman yang sentiasa dijaga rapi oleh pihak masjid menjadi tarikan kepada pelancong dan penduduk tempatan untuk beriadah dan berpiknik.
Masjid ini dinamakan sempena seorang raja yang memerintah Maghribi dari tahun 1961 hingga tahun 1999 yang bernama Raja Hassan ke-dua. Raja ini telah memerintahkan supaya sebuah mercu tanda dibina di Casablanca untuk mengingati bapanya iaitu Raja Mohammed Ke-lima. Raja Hassan ke-dua dalam merealiasikan cita -citanya telah betitah :
“Saya berharap agar Casablanca diberkahi dengan bangunan yang cantik dan besar yang tidak akan ditelan zaman. Saya mahu membina sebuah masjid diatas air, kerana takhta Tuhan berada di atas air. Oleh itu, sesiapa yang beribadah di sana dapat memuji pencipta di atas tanah dan merenung keatas langit dan ke arah lautan yang terbentang luas”.
Sebanyak 35 ribu orang pekerja telah membina masjid ini yang mengetengahkan seni bina Islam dan elemen Maghribi yang mencerminkan pengaruh Moor. Masjid ini menggunakan bahan semulajadi seperti granit, plaster, marmar, dan kayu yang diekstrak di sekitar negara Maghribi kecuali kolum granit putih dan 56 biji candelier yang diimport dari Itali. Enam ribu pengukir dari serata Maghribi telah turut serta dalam mengukir mosaik, lantai batu, marmar, tiang, dan kayu. Permukaan luar masjid dibuat dari titanium, gangsa dan granit dhiasi pula dengan marmar biru dan mozek Zillige. Ciri-ciri istimewa masjid ini adalah semua struktur diperbuat dari simen konkrit bertetulang dan semua hiasan adalah reka bentuk tradisional Maghribi. Bumbung masjid ini yang seberat 1100 tan akan dibuka untuk membolehkan cahaya matahari menerangkan jemaah untuk beribadah di siang hari dan membolehkan jemaah beribadah dibawah bintang yang menyinar di malam hari.
Sememangnya Masjid Hassan Ke-dua ini amatlah cantik dan sangat berbaloi untuk dilawati. Jika anda berpeluang untuk ke negara Maghribi, jangan lupa untuk singgah di masjid yang sangat ikonik ini di bandar Casablanca.
Jom kita lawat laman web ini untuk maklumat lebih lanjut tentang Maghribi
Jom layan video dibawah bagi menyaksikan keindahan Masjid Hassan Ke-dua.