Kandungan
Pengenalan
Adakah anda sedang mencari kasut but (but shoes) yang sesuai dan selesa dipakai setiap hari tetapi tidak tahu terdapat pelbagai jenis but dipasaran? Kasut but jika digayakan boleh menaikkan imej sang pemakai. Pemakai akan nampak lebih yakin, segak dan lasak (rugged). Secara visual, pemakai akan nampak lebih tinggi dari biasa.
Terdapat banyak jenis but yang ada di pasaran. Tetapi but yang akan diterangkan disini adalah ‘fesyen but’ yang boleh digayakan dengan jeans atau seluar khakis.
But adalah kasut yang menutupi semua bahagian bawah kaki sehingga buku lali. Terdapat juga but yang dipakai sehingga lutut dan bawah punggung. Kebanyakan but juga mempunyai tumit yang membezakan ia dengan kasut-kasut yang lain.
Jenis – Jenis But
Terdapat banyak jenis but yang ada di pasaran dan antara yang terkenal adalah ‘Chelsea’, ‘Chukka’, ‘Dress’ dan ‘Cowboy’. Semua jenis but ini sesuai dipakai di semua keadaan dan boleh digayakan dengan pelbagai jenis seluar.
But Chelsea
But Chelsea adalah but yang padan dan lekap pada kaki dan tidak mempunyai tali. Bermakna anda hanya perlu menyarung kaki sahaja kedalam but tersebut. Oleh sebab itulah but tersebut dipanggil but yang padan dan lekap kepada kaki. Jika kita tidak memilih saiz yang betul kerana ia juga tidak mempunyai tali untuk mengetatkan kasut, besar kemungkinan kasut akan tertinggal dibelakang dan kita berkaki ayam!
Kebiasaannya but ini mempunyai telinga di belakang supaya anda boleh menariknya ketika memakai kasut.
Sejarah kasut ini boleh diimbau pada Era Pemaisuri Victoria di England yang memerintah pada kurun ke 18 hingga kurun ke 19. Lama bukan? Seterusnya ia terus menjadi popular dan ikonik di Britain pada tahun 1960an terutamanya ketika era ‘Mod’ yang dimulakan di ibu kota London. Era ‘Mod’ adalah era dimana pemakai memakai baju yang ditempah dari penjahit, mendengar muzik Soul, Ska dan R&B dan selalunya memakai skuter yang berjenama Lambretta atau Vespa.
Dipercayai, ia dipanggil But Chelsea kerana pemakaian mula dipopularkan di jalan sekitar Chelsea dan Fulham. Adakah anda termasuk dalam era mod ini?
Antara artis terkenal yang memakai kasut ini adalah Rolling Stone (Kumpulan Rock Inggeris)
But Chukka
But Chukka adalah but yang mempunyai dua atau tiga tali dan diperbuat dari kulit atau suede. Kasut ini dipanggil Chukka kerana didalam sukan polo chukka bermaksud masa permainan.
Antara but Chukka dipakai oleh tentera British semasa Perang Dunia Kedua adalah dari jenis Desert Boots. (Desert Boot adalah tergolong dalam but chukka)
Biasanya but Chukka diperbuat daripada kulit lembu atau suede. But Chukka mula popular pada lewat tahun 1940an hingga tahun 1960an Pada era abad ke 21, Chukka menjadi salah satu kasut yang popular terutamanya di United Kingdom. But Chukka boleh digayakan dengan baju formal dan kasual seperti jeans.
Salah satu but Chukka yang terkenal adalah but Desert. But ini dipopularkan oleh syarikat kasut Clark.
But ini dikatakan sangat lasak dan ringkas menjadikan but ini selalu dipakai oleh tentera dalam operasi – operasi ketenteraan.
But Dress
But Dress adalah salah satu kasut alternatif untuk dipakai semasa cuaca buruk atau dalam keadaan ekstrim. But Dress adalah seakan-akan kasut formal tetapi ia lebih panjang sehingga melindungi buku lali. Ia boleh dipakai dalam apa jua majlis samada ada formal atau kasual. Samada dengan jeans atau seluar slack. Dress but mempunyai tumit yang agak tinggi sesuai jika dipakai sewaktu cuaca hujan melalui jalan yang licin atau berlopak. Ia juga mempunyai lubang tali yang agak banyak antara 7 hingga sembilan lubang.
Semasa lewat era Victorian (1830an hingga 1900an), lelaki tidak memakai kasut biasa selain kasut but.
Semasa zaman tersebut kasut untuk menunggang kuda yang panjang adalah kasut sehari harian mereka. But Dress pula dipakai semasa majlis atau acara formal. Secara perlahan, but Dress dijadikan kasut seharian mereka di dalam semua situasi samada formal atau tidak.
Buat masa ini, but Thursday keluaran syarikat Thursday sangatlah popular. Malangnya anda hanya boleh membeli secara online di laman web syarikat tersebut kerana ia tidak mempunyai kedai di Malaysia.
But Cowboy
But Cowboy tidak perlu diterangkan dengan lebih lanjut. Pastinya anda semua tahu bagaimanakah bentuknya jika anda selalu menonton cerita-cerita Koboi Inggeris. But ini biasanya dipakai ketika menunggang kuda dan mempunyai bahagian atas yang tinggi (lebih dari buku lali sehingga hampir ke pergelangan lutut). But Cowboy tidak mempunyai tali kerana pemakai jatuh dari kuda, pemakai boleh terus menanggalkan but supaya tidak terheret bersama-sama kuda.
But ini jika dipakai boleh menarik tumpuan orang ramai atau netizen kerana rekaan nya yang unik dan bercorak.
Pilihan Anda?
Apakah pilihan but anda? Semua but yang diterangkan di atas boleh menaikkan seri sang pemakai. Saham anda mungkin akan naik sehingga beberapa peratus jika digayakan dengan betul. Penulis merasakan kasut but yang berada di pasaran kini agak mahal menyebabkan pengguna berfikir beratus kali untuk membeli. But juga bukanlah sepopular kasut sneakers seperti Nike, Adidas atau Puma.Jika anda baru hendak berjinak-jinak dalam pemakaian but, bolehlah mencuba but Chelsea kerana but Chelsea tidak mempunyai tali dan senang disarung. Tidak rugi jika anda mempunyai sepasang but kerana seperti yang saya katakan di awal penulisan; Anda akan nampak lebih lasak dan versatil
Jom ikuti laman Telegram kami untuk tidak terlepas update-update terkini.
Jom baca tentang 10 Dompet Kulit Lelaki Terbaik & Popular