Pulau Aoshima : Sebuah Pulau Kucing

Kongsi Artikel ini :

Kucing-Kucing di Pulau Aoshima

Macam mana agaknya jika kucing lebih banyak daripada manusia di sesebuah kampung atau kawasan? Begitulah yang terjadi di sebuah pulau yang bernama Aoshima yang terletak di Wilayah Ehime, negara Jepun. Pulau yang dikenali sebagai ‘Neko no Shima’ ini sangat terkenal dengan jumlah kucing yang banyak sehinggakan nisbah antara bilangan kucing dan manusia mencapai 36 ekor kucing untuk satu penduduk.

Macam mana kucing-kucing ini boleh membiak di sebuah pulau yang hanya sebesar 1.6km panjang ini?

Pulau Aoshima, Jepun. Sumber : Google Maps

Dikatakan pada zaman dahulu, kucing-kucing ini dibawa masuk untuk membantu para penduduk dalam menangani tikus-tikus didalam kapal-kapal nelayan mereka. Setelah beberapa dekad, bilangan kucing bertambah dan beranak pinak di pulau tersebut dengan gembiranya. Sehingga kini terdapat lebih 200 ekor kucing berada di pulau tersebut.

Pada tahun 2019, dilaporkan bahawa penduduk di pulau tersebut tinggal 6 orang sahaja berbanding 900 orang pada sekitar tahun 1945. Populasi kucing yang semakin banyak menyukarkan penduduk untuk memberi makan kepada haiwan manja tersebut. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk memandulkan kucing-kucing tersebut bagi mengawal populasi mereka dari terus membiak.

Pulau Aoshima telah menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia kerana keunikan pulau tersebut yang dipenuhi oleh kucing-kucing yang comel. Akan tetapi, penurunan populasi ditambah pula usia penduduk yang semakin meningkat menyebabkan masa depan kucing-kucing di pulau tersebut agak terancam.

Bagi pelancong yang ingin melawat pulau tersebut boleh menaiki feri dari Stesen Iyo Nagahama yang terletak di Pelabuhan Nagahama yang hanya mengambil masa 30 minit.


Kongsi Artikel ini :