Pada satu petang yang panas di Gurun Kedah, keluarga Amin yang terdiri daripada 4 orang anak yang sedang meningkat dewasa, keluarga mertua dan isterinya sedang seronok bermain permainan Jutaria. Amin sedang mendahului permainan dengan mempunyai 10 buah hotel di kawasan ‘hotspot’. Sambil menikmati cucur udang dan menghirup teh tarik yang dimasak oleh isterinya, keluarga Amin menikmati petang Sabtu dengan gembiranya.
Sedang Amin melontar dadu untuk meneruskan permainan dan berharap untuk melepasi deretan rumah yang dibina oleh isterinya, bapa mertua Amin bersuara. “Apakata kita pergi Alor Star untuk makan malam?” Isteri Amin berkata , “Jomm…mesti seronok”. Amin pula rasa bebelah bahagi kerana perjalanan ke Alor Star dari Gurun mengambil masa sehingga 50 minit. Tambahan pula, cuaca sangat panas sekarang. Tetapi Amin tetap menjawab “Jom kita pergi” kerana menganggap semua orang nampaknya bersetuju dan tidak mahu mengutarakan pendapat sendiri takut-takut dia seorang sahaja yang tidak mahu pergi.
Sementara itu, Amin mengajak sekali mak mertuanya untuk ikut sekali dan mak mertua menjawab “Kenapa tidak?” kerana beliau sudah lama tidak ke Alor Star. “Macam mana la rupa Alor Star sekarang”. bisik mak mertua Aman didalam hatinya.
Setelah bersiap apa yang patut, rumah pun telah dikunci rapi. Amin mengambil kunci kereta Nissan Serena yang dibelinya pada 10 tahun yang lepas lalu memanaskan enjin keretanya. Bapa mertua Amin duduk disebelah pemandu, manakala anak-anak, isteri dan mak mertuanya duduk di belakang. Sambil mendengar radio Klasik Nasional kegemaran bapa mertuanya, mereka meluncur laju menuju ke bandar Alor Star.
Oleh kerana usia kereta yang sudah lama, ‘aircond’ kereta Amin tidaklah sesejuk semasa kereta itu masih bau kedai lagi. Ditambah pula dengan askar-askar 4 orang dibelakang yang melompat-lompat di tempat duduk belakang menambahkan lagi panas yang ada. Mak mertua Amin nampaknya mengesat-ngesat dahinya menghilangkan peluh yang mengalir sambil mengomel “Lama lagi ke nak sampai Amin”? Amin hanya mendiamkan diri dan fokus kepada pemanduan kerana terganggu dengan cuaca yang sangat panas. Setelah hampir 50 minit perjalanan, mereka akhirnya sampai ke Alor Star.
Mereka singgah di satu kedai makan yang agak terkenal di Alor Star. Amin memesan satu set makanan panas yang terdiri daripada ikan siakap masak stim lemon, sayur kailan ikan masin, sotong masak tepung, dan tomyam campur untuk 6 orang makan.
Meja- meja yang ada di kedai tersebut telah penuh diisi oleh pelanggan yang datang tanpa henti-henti. Di sebelah meja Amin, sepinggan sotong goreng tepung jatuh ke atas lantai tanpa ada seorang pun yang membersihkannya. Makanan yang dipesan tidak sampai-sampai lagi walaupun sudah sejam menunggu. Anak-anak Amin sudah merengek kelaparan, bapa mertua Amin pula muka pun dah masam.
Setelah menunggu sehingga 1 setengah jam, makanan yang dipesan sampai. Amin menarik nafas lega. Mereka mencuba satu demi satu lauk yang dipesan, digaul bersama nasi. Dapat dilihat, muka masing-masing kelat. Amin syak makanan yang dipesan kurang sedap, Tomyam terlampau masin, sotong goreng tepung yang semata-mata tepung, ikan siakap yang hanyir dan sayur kailan ikan masin yang digoreng sampai layu.
Seusai makan, mereka pun bergerak balik ke Gurun. Perjalanan balik juga mengambil masa hampir 1 jam. Sampai sahaja dirumah, salah seorang daripada mereka bertanyakan satu soalan “Bestkan makan-makan tadi?”. Mak mertua menyampuk dengan berkata, sebenarnya mak lebih suka duduk dirumah bermain Jutaria, tetapi terpaksa ikut sebab yang lain macam ‘excited’ je. Amin pula menjawab “Saya tak suka sangat pergi sana, tetapi saya buat sebab nak puaskan hati kamu semua”.
Isteri Amin pula menyuarakan apa yang terbuku didalam hati mereka dengan menyatakan dia mengikut sebab nak gembirakan mereka semua. Bapa mertua pula mengatakan dia saja je bagi cadangan ke Alor Star sebab tengok yang lain macam bosan je tadi.
Mereka terduduk dan merenung memikirkan kalau duduk kat rumah tadi sambil main jutaria kan seronok. Mereka semua sebenarnya tak nak pergi, tapi tak nak mengaku semasa bapa mertua bertanya soalan mula-mula tadi.
Pernahkan situasi ini berlaku kepada anda? Jika pernah, situasi ini dipanggil Abilene Paradox. Terma ini telah diperkenalkan oleh seorang pakar pengurusan bernama Jerry B.Harvey dalam artikelnya bertajuk ‘The Abiline Paradaox’ pada tahun 1974. Abiline adalah nama tempat di Amerika Syarikat yang Jerry gunakan dalam ceritanya, manakala admin gunakan nama tempat Gurun.
Secara ringkasnya, Abilene Paradox ini, adalah apabila satu kumpulan telah bersetuju untuk membuat sesuatu tetapi sebenarnya berlawanan dengan pendapat individu lain di dalam kumpulan tersebut. Cumanya individu yang lain tidak berani untuk menyuarakan pendapat kerana takut-takut ahli yang lain akan pandang negatif dan cakap belakang kepada kita.
Admin yakin perkara ini banyak berlaku pada masyarakat kita samada di dalam keluarga ataupun ditempat kerja. Kita takut untuk menyuarakan apa yang terbuku didalam hati kerana takut yang lain akan pandang serong kepada kita, tetapi sebenarnya mereka pun menunggu satu sama lain untuk menyatakan perkara sebenar. Abiline Paradox ini boleh jadi juga kerana kita berasa takut kepada ketua atau orang yang lebih besar ; takut-takut kita tidak dapat kenaikan gaji atau bonus pada tahun tersebut jika kita menyuarakan pendapat kita.